Keningau Kundasang bahagian 1

23 November 2011, keluarga saya dan keluarga ipar saya bercuti di Kundasang Sabah. Secara tak langsung membawa kedua pengantin honeymoon di sana.

3 jam diperlukan untuk tiba di Kundasang daripada Keningau. Kami bergerak menaiki 2 buah kenderaan dengan 6 orang dewasa dan 4 orang kanak-kanak. Perjalanan berjalan dengan lancar walaupon jalan raya di sini perlu melalui laluan bukit hampir sepanjang masa.

Kami tiba di Kundasang pada jam 5.30 petang. Hujan yang turun bagaikan menyambut ketibaan kami di sana. Tapi hujan seketika saja. Kami berhenti di gerai tepi jalan untuk membeli buah dan saya membeli propolis serta buah yang agak asing bagi saya, agak saya ini adalah buah nona.

Deretan kedai sayuran di tepi jalan mengingatkan saya seperti di Cameron Highlands Pahang. Suasana sejuk dan berkabus. Mungkin disebabkan oleh hujan yang turun sebelumnya.

Selepas membeli, kami bergerak ke tempat penginapan, di Kinabalu Pines Resort. Suasananya memang cantik, dikelilingi pokok pine serta udara yang sejuk mengadap Gunung Kinabalu. Bilik yang kami tempah berharga RM171.00 satu malam beserta sarapan dan kami menempahnya dua malam.

Pada malamnya, saya bersama rombongan keluar makan malam di pekan Kundasang. Kami makan di sebuah kedai makan yang sudah biasa dikunjungi ipar saya semasa mereka pulang ke Keningau dari Sandakan. Makanan dan minuman yang panas amat menyegarkan dan menyelerakan.

Kami bergegas pulang selepas makan malam kerana ingin menonton perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 2011 antara Malaysia menentang Indonesia yang dimenangi oleh Malaysia. Yeahhhh… Walaupon saya menontonnya seorang diri kerana Ihtisham dan isteri telah tidur, saya terdengar jeritan GOLLL!!!  daripada bilik sekitar ketika Malaysia menjaringkan gol. Amat mendebarkan perlawanan tersebut terutama ketika perlawanan terpaksa diakhiri dengan sepakan penalti. Tahniah pasukan Harimau Malaya.

 

Trip Keningau 1

Saya sekarang berada di Keningau Sabah bersama keluarga. Pulang ke rumah mertua di sini. Sebenarnya, ini adalah trip yang kedua kami pulang ke Keningau dalam tahun ini kerana kami telah pulang meraikan perkahwinan adik ipar lelaki pada bulan Februari lepas. Kepulangan kali ini untuk meraikan perkahwinan adik ipar perempuan pula.

Trip kali ini berbeza dengan trip yang lepas kerana kami sekeluarga bergerak dari Perlis dengan keretapi dari Stesen Keretapi Arau menuju ke Kuala Lumpur Sentral. Kami sekeluarga memilih keretapi kerana Ihtisham sudah besar dan mudah untuk menjaganya.

Perjalanan dengan keretapi kali ini agak kurang terurus. Isteri saya pulang dari pejabatnya ke rumah dalam jam enam petang, saya pula siapkan urusan untuk meninggalkan syarikat hampir jam enam petang. Maklumlah, 2 minggu saya akan meninggalkan syarikat. Sepanjang ketiadaan saya di syarikat, syarikat sedang dan akan menguruskan projek landskap di Pejabat Imigresen Kuala Perlis dan pembinaan rumah lindungan hujan di nurseri pokok sayur dan buah-buahan sumbangan Jabatan Pertanian Negeri Perlis kepada seorang usahawan mereka.

Sudah 2 hari saya siapkan segala dokumen yang diperlukan untuk ditinggalkan kepada rakan kongsi saya (dalam skop kontraktor). Invois, gambar, plan serta barang-barang untuk kerja-kerja tersebut. Alhamdulillah berjaya siapkan sebelum berangkat ke Keningau.

Jadi, akibat  masa yang kurang mencukupi, kami tak sempat menyiapkan makanan untuk dibuat bekalan sepanjang berkeretapi. Nak beli makanan di kedai pon tak sempat sebab jam dah menunjukkan 6.40 petang semasa kami bertolak keluar dari rumah. Jadual keretapi pula jam 7.10 malam di Stesen Arau.

Setelah menaiki keretapi, saya, isteri dan anak sudah kelaparan. Perancangannya kami makan saja di kantin dalam keretapi walaupon….. psstt…. turunkan nada suara anda ” makanan dalam keretapi kurang enak serta mahal, jadi disarankan bawa bekalan anda sendiri” :-)

Agak ramai juga penumpang lain semasa kami tiba di kantin. Dan sesuatu yang tidak saya jangka berlaku, makanan yang tinggal hanyalah mee cawan segera dan keropok. Saya mengambil keputusan dan membeli 3 cawan mee segera dan sebungkus keropok untuk mengisi perut yang sedang kelaparan. Saya kasihankan Ihtisham kerana tiada makanan yang sihat dan mengenyangkan. Tapi apakan daya, tu saja makanan yang ada jika tidak, kami perlu menunggu hingga jam 10.30 malam barulah ada nasi, mee dan makanan berat yang lain tiba di kantin.

Selepas makan, Ihtisham masih lagi bermain di dalam keretapi. Bergerak ke katil saya dan kemudian ke katil ibunya.   Pada malam itu juga, terdapat perlawanan bola sepak Sukan Sea antara Malaysia menentang Indonesia. Sekali sekala saya membuka FB membaca ulasan tak rasmi rakan FB tentang perlawanan tersebut. Keputusan yang menggembirakan kerana Malaysia menang 1-0.

Dalam melayan Ihtisham, saya juga memikirkan tentang satu barang yang telah habis dalam simpanan saya untuk membina rumah lindungan hujan kelak. Ligat otak saya berfikir kerana projek pembinaan akan dilaksanakan dalam masa sehari dua lagi. Alhamdulillah, selepas menelefon beberapa rakan, saya telah menjumpainya dan barang tersebut akan tiba di pejabat saya keesokan hari.  Selesai sudah tugas saya menyiapkan segala alatan yang diperlukan untuk pembinaan rumah lindungan hujan dan pembinaan akan dapat dijalankan dengan lancar oleh rakan kongsi saya kelak, insyaAllah.

Mungkin agak letih, Ihtisham kemudianya tidur di katil ibu. Seperti kebiasaan jika saya ke mana-mana, saya akan membawa bekal sebuah buku.   Sebelum tidur, saya membaca  buku Rahsia Jutawan Ebay. Di dalamnya tidak hanya diceritakan secara teknikal tentang ebay, tetapi pengurusan perniagaan gaya ebay juga ada di dalamnya. Memang tiada kaitan dengan perniagaan yang sedang saya jalankan, tetapi tidak salah untuk kita menambah ilmu baru.

Menarik sepanjang pembacaan saya sehingga muka surat 86, ada diceritakan tentang kepentingan diari. Pentingnya diari juga ada ditulis di dalam buku Leaving Microsoft to Chang the World. Wow, rupanya terdapat impak yang besar bila kita menulis diari.   Di dalam diarilah tercatat apa saja pengalaman dan pembelajaran sepanjang penulisan.

Baru-baru ini, saya pernah membaca semula blog saya www.mohdashraf.com sedari awal. Rupanya banyak yang telah saya pelajari dan saya kecapi, tetapi memandangkan ianya ditulis di blog, maka saya tidak mencatat semuanya. Tapi dengan adanya diari, mungkin saya akan catatkan segala-galanya yang mungkin tidak sesuai untuk saya kongsikan dengan orang lain.   Memandangkan kepentingan diari telah dinyatakan oleh dua orang yang hebat, saya pasti akan mengikuti jejak langkah mereka.

Sukacita di maklumkan bahawa program NCIA-MTDC Symbiosis di perkenalkan untuk menggalakkan graduan universiti untuk menceburi bidang pengkomersilan teknologi daripada universiti-universiti dan institusi penyelidikan tempatan. Program ini bertujuan untuk membentuk golongan usahawan di kalangan siswazah yang berminat di dalam aktiviti pengkomersilan dan seterusnya memasarkan produk-produk ke pasaran.

 

Program NCIA-MTDC Symbiosis ini adalah khusus untuk graduan-graduan  yang bermastautin di dan/atau berasal daripada negeri-negeri sebelah utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) sahaja.

 

Peserta program akan menjalani dua peringkat latihan. Di peringkat pertama, peserta yang terpilih akan melalui 3 (tiga) fasa latihan dalam tempoh 1 bulan.

Fasa I : Kursus induksi – Pengenalan kepada teknologi yang terpilih

Fasa II : Kursus Usahawan

Fasa III : Bengkel Pengkomersilan – Pembentangan modul-modul tentang konsep dan amalan di dalam proses peng- komersilan.

 

Selepas tamat peringkat pertama peserta dikehendaki menyediakan pelan perniagaan di dalam mengkomersilkan teknologi yang dipilih berdasarkan kepada kursus yang dihadiri. Diperingkat kedua, kesemua peserta akan dinilai dan hanya 20 peserta terbaik yang memenuhi kriteria yang ditetapkan akan terpilih dan berpeluang memulakan syarikatdan perniagaan mereka. Syarikat-syarikat ini juga akan mendapat pembiayaan dari MTDC dan akan melalui proses inkubasi selama 24 bulan di salah satu pusat teknologi di bawah pengurusan MTDC. Di sini mereka akan terus menerima bantuan dan bimbingan untuk memastikan proses pengkomersilan berjalan dengan jayanya.

 

Sekiranya saudara/i bekerja ketika ini tetapi berminat untuk menyertai kursus, saudara/i dinasihatkan untuk mengambil cuti panjang. Kursus akan bermula pada 3 – 25 Disember 2011 di Pulau Pinang. Kemudahan tempat tinggal termasuk makan/minum serta elaun akan diberikan kepada peserta.

 

Saudara/i boleh membuat permohonan secara online melalui http://210.19.31.148/ncia/appform.php. Butiran resume boleh dikemukakan semasa sesi interbiu nanti.

 

 

Sekian, harap maklum dan wassalam.

 

 

WAN RODZIANA WAN HASSAN

Senior Executive

Manufacturing Division,

Northern Corridor Implementation Authority (“NCIA”)

(NCIA Technology Development Centre)

Plot No. 36, Bayan Lepas Industrial Estate, Phase 4,

11900 Bayan Lepas,

Pulau Pinang,

Malaysia.

 

General Line  :  +604 – 616 9600
Direct Line     :  +604 – 616 9601
Fax                 :  +604 – 616 9700
Email             :  rodziana@ncer.com.my
Website         :  www.ncer.com.my

HALFEST 2011

Halal Fiesta atau singkatannya HALFEST telah diadakan di PWTC dari 12 hingga 16 Oktober 2011.

Saya telah berkesempatan ke sana pada 13 Oktober  2011 bersama rakan lain menaiki 2  buah bas MARA. Terima kasih saya ucapkan kepada MARA Perlis atas peluang yang diberi.

Kami diminta untuk berkumpul berhampiran bangunan MARA untuk menaiki bas pada 12 Okt jam 9.30 malam, dan bas bertolak mengikut jadual, jam 10.00 malam memandangkan semua orang datang awal.

Perjalanan mengambil masa selama 7 jam dan kami tiba di hentian RnR Sungai Buloh jam 5.20 pagi. Saya tidak ingat bila kali terakhir saya singgah di sana.

Sempat lagi saya sambung tidur menunggu jam 6 pagi untuk mandi dan solat. Sebenarnya letih tidur atas bas. Kerusi belakang sekali pula.  Agak tak selesa. Tapi, asalkan dapat melawat HALFEST, tak kisahlah. Percuma aje kan? :D

Kami bertolak ke PWTC jam 9.00 pagi dan tiba di sana jam 9.30 pagi tapi dewan pameran belum dibuka. Awal sangat kami tiba rupanya. Tak disangka-sangka, saya berjumpa dengan Pengarah Stesen Agroteknologi UniMAP. Sempat kami berborak seketika sebelum beliau menunjukkan tempat pendaftaran.

Pihak penganjur HALFEST telah menggunakan teknologi internet dan gajet ber WiFi untuk pendaftaran. Wow! Mudahnya untuk mendaftar. Selepas diberitahu oleh petugas cara untuk mendaftar secara dalam talian, terus saya gunakan telefon saya untuk mendaftar.

Selesai mendaftar, saya diberi sebuah beg cenderahati dan tag tangan untuk masuk ke dalam dewan.

Rakan saya, tuan Aminuddin di hadapan pintu masuk Dewan 3.

Lebih kurang jam 10 pagi, saya masuk ke dewan pameran. Mungkin terlalu awal, ada gerai pameran yang belum pun lagi dibuka. Setelah melawat ke gerai pameran dan menguji setiap makanan di sana, saya berehat seketika kerana agak bosan. Tak la banyak sangat gerai pameran.

Semasa berehat, saya membuka beg cenderahati. Yang menarik di dalam beg tersebut, ada sebuah jam unik pemberian CIMB Bank, 2 paket jus dan sebuah buku panduan HALFEST.

Sudah jadi kelaziman, saya memang suka membelek-belek buku waima buku panduan. Semasa membelek buku panduan HALFEST, baru saya sedar yang saya hanya melawat Dewan 3. Patutlah saya rasa sedikit saja gerai pameran walhal ada 700 gerai, dan di dalam buku panduan ada gambar iklan gerai Dinar Kelantan di Dewan 1.

Pasa masa saya sedar tentang kewujudan gerai di dua lagi dewan, jam dah menunjukkan 12.30 tengah hari. Sebelum masuk PWTC, saya diminta berkumpul jam 2 petang di hadapan PWTC untuk pulang.  Apa lagi, bergegas saya ke Dewan 2 dan Dewan 1, sambil meninjau gerai pameran yang lain, saya juga mencari gerai Dinar Kelantan.

Sampai di gerai Dinar Kelantan, saya membeli 2 Dirham (syiling Perak) yang berharga RM50.00. Beli hanya untuk koleksi saja. Selepas buat pembelian, ada sedikit masa lagi, saya teruskan melawat gerai-gerai lain sehingga jam 2 petang.

Gerai pameran yang unik. RUMAH NENEK.

Sempat lagi rombongan kami ke Nilai 3 selepas beredar dari PWTC. Saya dan 4 orang rakan tidak turun dari bas. Kami mengambil keputusan untuk berehat di dalam bas sahaja memandangkan tiada barang yang ingin kami beli di Nilai 3. Lagi pun, dalam bas sejuk, ada ekon. Kami 4 sekawan jadi “jaga” bas memandangkan pemandu dan pembantu mengambil peluang ini untuk makan.

Jam 6 petang, bas bertolak ke hentian Nilai untuk solat dan makan di sana. Jam 7.45 malam, kami bergerak ke Perlis. Saya tiba di Perlis jam 3 pagi. Alhamdulillah, semuanya selamat dan saya mendapat banyak pengalaman.

InsyaAllah akan saya kongsikan beberapa maklumat yang saya dapat berkenaan peluang pinjaman daripada Agro Bank dan TEKUN  yang saya perolehi semasa di HALFEST 2011.

Tunggu ye :D

Pinjaman RM500,000.00 untuk Kontraktor

Adakah anda kontraktor bumiputera yang mendapat Pesanan Kerajaan atau LO (Letter of Offer) atau PO (Purchase Order) atau kontrak kerja tapi kekurangan modal untuk melaksanakan pesanan tersebut?

Sekarang MARA ada menyediakan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres atau SPiKE kepada para kontraktor.  Melalui SPiKE, kontraktor bagi Kelas F, E dan D serta kontraktor bekalan, perkhidmatan dan elektrik boleh memperolehi kelulusan pinjaman dalam tempoh sehari selepas mendapat pesanan kerajaan, dan duit modal boleh diperolehi selepas 3 hari.

Saya telah 2 kali memperoleh modal kerja daripada MARA tetapi dahulunya dikenali sebagai Skim Pembiayaan Kemudahan Kontrak. SPiKE adalah skim baru, insyaAllah akan memberikan kelulusan yang lebih cepat berbanding skim lama yang mengambil masa hampir sebulan untuk mendapat modal kerja.

Keuntungan yang akan dikenakan kepada kontraktor adalah sebanyak 6% setahun. Modal yang perlu disediakan oleh kontraktor adalah sebanyak 10% daripada nilai projek.

Jadi jika ingin gunakan SPiKE, pastikan anda lebihkan jumlah keseluruhan 6% di dalam sebutharga bagi mengelakkan kerugian 6% kerana akan diberi kepada MARA.

Berdasarkan 2 kali pengalaman menggunakan pinjaman Mara bagi kontrak  kerajaan, nilai minimum yang akan MARA luluskan adalah kontrak yang bernilai RM10,000.00 dan ke atas. Walaubagaimanapon, jika di bawah RM10,000.00 , boleh digabungkan beberapa kontrak kerajaan hingga mencecah RM10,000.00.

Kenapa pinjaman saya hanya 2? Memandangkan kita perlu tambah 6% nilai keseluruhan sebutharga, harga kita akan menjadi lebih tinggi. Hanya projek yang bernilai tinggi saja yang saya gunakan untuk dapatkan pinjaman MARA, projek yang agak kecil saya gunakan modal lain, kerana agak susah untuk dapatkan projek jika harga tawaran sebutharga kita tinggi.

Ini adalah serba sedikit pengalaman yang saya boleh kongsi, insyaAllah jika berkesempatan, saya akan berkongsi lagi.

Belajar Bisnes Internet Secara Serius

Rasanya sekarang ni ramai yang dah kenal apa itu bisnes internetkan?

Saya mengenali bisnes internet dari tahun 2005, tapi tak dibuat secara serius. Setelah agak lama meninggalkan dunia internet, pada tahun ni, saya telah hadirkan diri dalam Official WC Gathering 2011, yang telah diadakan pada 23 Julai 2011 di Dewan Serbaguna, Menara Usahawan, Presint 2 , Putrajaya.

 

Seramai 108 orang yang telah hadirkan diri. Sebenarnya, saya ada mengenali beberapa orang “otai” sewaktu ketika dulu dalam tahun 2005. Mereka ini adalah orang yang mahir dalam menjana pendapatan melalui internet.

Tapi pada perjumpaan kali ini, hanya beberapa orang saja “otai” yang hadir. Saya ada juga ajukan soalan pada “otai” yang hadir, mereka juga tertanya-tanya tentang “otai” lain. Ada yang diketahui sedia sibuk, tapi masih lagi dapat diketahui perkembangan dalam Face Book. Tetapi ada juga yang terus menghilang. Mungkin agak sibuk dengan urusan harian memandangkan internet dapat menjana pendapatan yang agak mewah bagi mereka yang berkecimpung secara serius atau mereka telah menumpukan pada kawasan yang lebih luas di arena antarabangsa.

Tidak saya nafikan, walaupon tanpa kehadiran orang lama, peserta yang hadir juga membuat duit daripada internet. Buat yang betul-betul buat duit, yakni secara serius. Pendapatan 4 angka adalah biasa dan ada yang lebih daripada itu. Owh, kecilnya diri ini.

Terfikir juga jika saya serius membuat duit dari tahun 2005 daripada internet… hehe

Okay.. okay… “Ter “berangan seketika :D .

InsyaAllah saya akan buat bisnes internet secara serius lepas ni. Mungkin akan saya ambil pembantu untuk bantu saya memandangkan saya sedang uruskan syarikat www.abiagro.com.my sepenuh masa.

Alhamdulillah, dipermudahkan lagi urusan saya ke arah tu, pada 16 hingga 18 Disember 2011, akan diadakan satu boot camp usahawan internet, yang mana akan diajar jana pendapatan dari internet secara hands on. Boot camp ini dinamakan Bootcamp Usahawan Kedai Kopi IM.

Program 3 hari 2 malam. Tapi harganya boleh tahan, RM659.00 untuk 1 orang peserta dan paling menarik RM1,590.00 untuk  2 dewasa dan 3 kanak-kanak. Bagi saya, harga tersebut agak berbaloi memandangkan saya akan diajar secara hands on. Dan semestinya saya akan bina dulu beberapa site yang saya dah kenalpasti untuk diperkemaskan semasa bootcamp nanti. Jadi, orang kata, terus jalan je :D .

Bagi sesiapa yang berminat untuk join saya nanti, bolehlah daftar pada link di bawah:
http://bit.ly/perniagaan-internet 

Bootcamp ni khas buat 60 tempat saja. Terhad ni.

Saya memang serius untuk berbisnes internet kali ini. Peluang dah ada di depan mata sebab ada orang yang sanggup habiskan ribuan ringgit untuk belajar. InsyaAllah, semoga saya akan punyai 1 lagi sumber pendapatan selepas ini.

 

Post kali ni tentang koperasi.

Bagus ke tak koperasi ni?

Bagi saya, koperasi ni bagus. Kerana dalam koperasi, ahli dapat bergabung, membentuk satu organisasi yang besar.  Ahli-ahli di dalam koperasi juga mempunyai matlamat yang sama, agenda yang sama. Kadangkala, ada perkara yang ingin dilaksanakan secara individu, tetapi tidak mempunyai kemampuan dari segi wang ringgit, masa dan tenaga.

Secara logiknya, setiap perkara yang ingin dilaksanakan mampu direalisasikan. Tetapi kekangan kemampuan yang saya maklumkan tadi membuatkan idea tersebut sukar untuk dilaksanakan. Dan mungkin juga ianya tidak lagi relevan apabila kita mampu untuk melaksananya kelak.

Jadi, adakah idea tersebut perlu berkubur begitu saja? Luahkan idea tersebut kepada koperasi. Walaupon tidak dapat sepenuhnya keuntungan daripada idea tadi, tapi idea mampu dilaksanakan pada masa dan ketika yang sesuai.  Sebagai ahli koperasi, akan dapat juga keuntungan daripada idea yang dilaksanakan.

Dalam bidang pertanian, semestinya pengusaha inginkan kos yang murah. Tapi bagaimana untuk membeli baja, makanan, ubatan, racun dan lain-lain dengan harga yang murah jika kuantiti yang mampu dibeli adalah sedikit? Disinilah kekuatan koperasi. Dengan adanya ramai ahli yang mempunyai matlamat yang sama, koperasi dapat membeli terus daripada pengeluar dalam kuantiti yang banyak walaupon pengeluarnya diluar negara.. Dan jika dalam kuantiti banyak, harganya semestinya murah dan koperasi boleh menjualnya kepada ahli juga dengan harga yang murah.

Di sini saya ingin mewar-warkan penubuhan Koperasi Agro Selangor Berhad. Khas buat petani, penternak dan nelayan.

Objektif penubuhan koperasi ini adalah:

Membantu ekonomi ahli.
Menambah dan memperluaskan jaringan perniagaan serta pasaran.
Memastikan input pertanian pada harga munasabah dan kualiti yang baik.
Memastikan penjualan hasil pada harga maksimum dan berpatutan.
Berdaya saing di dalam ekonomi global .
Mengabungkan idea dan kemahiran.
Mengabung petani dan penternak di bawah satu suara.
Menjadi sebagai pusat bekalan keperluan/peralatan atau khidmat nasihat.

Penubuhan koperasi ini telah diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Jadi, bagi sesiapa yang berminat menyertai koperasi ini, boleh mendaftar secara online  pada link berikut:

http://koperasiagro.blogspot.com/

Ubi keledek fasa 2

Ini adalah keadaan kebun fasa pertama.

Pagi tadi saya dihubungi oleh rakan kongsi saya(bukan kongsi gelap :D ) . Saya dimaklumkan yang tanah kebun sebelah sedang dibersihkan. Alhamdulillah, cepat gerakan tuan punya traktor.

Nun di sebelah kanan atas traktor sedang potong rumput

Kami bercadang untuk masukkan benih keledek baru selepas hari raya. Jadi kena sediakan tapak secepat mungkin memandangkan ada hujan turun beberapa hari ni. Kalau hujan dah turun, alamat tergendala lagi projek kami seperti telah terjadi pada fasa pertama.

Tapak kebun ubi keledek fasa 2

Keluasan untuk fasa ke 2 ni adalah 5.5 relong. Tapi kawasan tu termasuk dengan sedikit tanah bendang dan kolam kecil. Anggaran untuk tanaman keledek hanya 4.5 relong saja.

Bagi tapak baru, akan ditanam sebanyak 40,500 batang benih ubi keledek.  Ini adalah anggaran saja memandangkan benih ditanam mengikut batas, dan batas dibuat sebaik mungkin oleh traktor yang dikendali oleh manusia. Jadi mana mungkin nak dapat batas yang sempurna serta mana mungkin benih dapat ditanam mengikut jarak 25cm hingga 30cm. :D

Sebelah kiri kebun fasa 1, kanan kebun fasa 2

Harapan agar benih dapat ditanam melebihi anggaran.

Rumput yang telah dipotong ni akan dibiarkan 2 hingga 3 hari, kemudian akan dibakar. Pembakaran dibuat untuk membakar daun rumput , akar rumput dan biji benih rumput. Ini akan mengurangkan pertumbuhan rumput baru kelak. Selain daripada itu, tanah yang dibakar juga akan menyuburkan lagi tanah.

Selepas bakar rumput, traktor akan turun lagi ke kebun untuk gembur tanah. InsyaAllah cerita tentang ni akan saya kemas kini lagi nanti.

Projek ubi keledek

Jika ada pembaca masih ingat, saya telah khabarkan projek baru di Padang Lati, Perlis.
Kebun ini saya namakan Kebun Padang Lati. Kebun ini dikongsi bersama 2 lagi orang rakan.

Benih ubi keledek yang dah berakar.

Pada penghujung bulan 5 2011, kebun ini telah dimasukkan benih ubi keledek. Pada peringkat awal, sebanyak 5000 benih ubi keledek ditanam ke dalam batas kebun ini. Tanaman ditanam menggunakan khidmat pekerja Bangladesh seramai 3 orang.

Tanaman ubi peringkat awal.

Semasa proses memenuhkan kebun dengan pokok ubi berjalan, cuaca di kebun agak panas. Banyak pokok yang tidak mampu bertahan dan mati akibat suhu panas yang agak tinggi. Jadi kami mengambil keputusan untuk menangguhkan dulu tanaman sehinggalah hujan turun.

Tanaman pokok ubi kali ke 2

Alhamdulillah, setelah seminggu, hujan mula turun. Kebun diteruskan dengan penanaman semula pokok ubi keledek. Kali ini dibantu oleh sekeluarga pekerja daripada Kodiang. Kerja penanaman dijalankan dengan lancar memandangkan mereka sekeluarga telah mempunyai pengalaman menanam ubi keledek.

Namun begitu, kami mengalami masalah benih yang tidak boleh dibekalkan pembekal dalam masa yang telah kami tetapkan. Ini membuatkan pokok ubi keledek kami tidak dapat ditanam secara serentak.

Sebanyak 11000 benih telah ditanam di dalam kebun Padang Lati seluas 3 relong.

Rumput selepas diracun

Setelah sebulan selepas penanaman terakhir, kebun mula ditumbuhi rumput. Kerja-kerja meracun rumput dilakukan dengan menggunakan racun jenis paraquat. Racun ini akan membunuh bahagian yang terkena racun saja. Jadi, kalau terkena pokok ubi keledek, ia tidak akan membunuh pokok tersebut.

Angkat pokok ubi keledek

Dalam masa sama, pokok ubi yang menjalar perlu diangkat supaya ruas yang terkena tanah tidak berakar. Keadaan ruas berakar akan mengurangkan tumbesaran ubi kelak.

Pokok ubi keledek

Daun ubi keledek yang subur

Tanah merekah menunjukkan tumbesaran ubi keledek di dalam tanah.

Beginilah keadaan pokok ubi setelah berumur 60 hari. InsyaAllah boleh dipungut hasilnya pertengahan bulan sembilan 2011.

Terjun payung lagi

Pada 9 Julai 2011 yang lepas, saya telah melakukan penerjunan kali ke 4 dan ke 5 di Segamat Johor.
Alhamdulillah, kali terakhir saya melakukan penerjunan adalah pada tahun 2003.

Videonya ada pada post yang lepas.
http://mohdashraf.com/v1/uncategorized/3rd-jump/

Penerjunan kali ini amat bermakna, kerana ditemani isteri dan anak.
Saya mengambil keputusan untuk menaiki keretapi Arau – Sentral Kuala Lumpur kemudian Sentral Kuala Lumpur – Segamat.
Agak lama juga dalam keretapi, tetapi memandangkan saya sudah biasa dengan keretapi, alhamdulillah, perjalanan yang menyeronokkan buat kami sekeluarga.

Ihtisham bersama katilnya.

Perjalanan mengambil masa selama 10 jam dari Arau ke Sentral Kuala Lumpur.  Saya memilih kabin kerana kami dapat tidur dengan selesa sekeluarga. Tapi harganya agak mahal sedikit.
Untuk pengetahuan, kabin yang saya maksudkan adalah bilik yang mempunyai katil atas dan bawah. Jadi di dalam bilik tersebut ada privasi buat kami sekeluarga. Ada juga disediakan TV di dalam kabin tetapi  rosak pula. Nasib baik saya bawa komputer riba bersama. Dapatlah kami menonton muvi walaupon skrinnya 12 inci.

Selain daripada dapat tidur di dalam keretapi, terdapat juga kantin dan tandas. Begitu selesa bagi saya berbanding pengangkutan awam lain.

Bertolak dari Arau jam 7.10 malam dan tiba di Sentral Kuala Lumpur jam 5.30 pagi. Seronok betul Ihtisham dapat naik keretapi. Selepas sembahyang Subuh dan mandi di Sentral Kuala Lumpur, kami bersarapan sambil menunggu jam 9.00 pagi untuk menaiki keretapi ke Segamat pula. Kali ni yang ada hanya kerusi sebab katil disediakan untuk perjalanan malam sahaja. Takan nak tidur disiang hari pulakan? :D Dalam perjalanan disiarkan muvi Clash of The Titan. Saya jeling sekali sekala saja sebab dah tengok sebelum ni.

Mengisi masa lapang di dalam keretapi.

Kami tiba di Segamat setelah melalui beberapa perhentian. Maklumlah naik KTM Antara Bandar.  Pertama kali kami tiba di Stesen Keretapi Segamat dan ianya bersebelahan dengan Stesen Bas dan Teksi. Jalan kaki saja untuk menaiki teksi ke hotel.

Jam 6.00 petang hari yang sama, saya seorang diri menaiki teksi ke Segamat Golf and Country Club untuk ikuti ground course. Maklumlah, dah 7 tahun tinggalkan aktiviti skydive ni. Berdebar-debar tetapi teruja untuk terjun lagi. Habis ground course jam 10.00 malam. Bagi penerjun yang ingin terjun buat kali pertama, kami perlu ikuti sehari ground course sehari sebelum penerjunan. Ya, sehari sudah mencukupi.

Ground course daripada En Azlan KL Skydive

Hari ke 2, jam 8.00 pagi saya bersama keluarga  menumpang kereta Tuan Khairil, rakan baru saya, juga penerjun  ke Segamat Golf and Country Club selepas sarapan dan check out dari hotel. Tuan Khairil dan saya telah dimaklumkan oleh instructor untuk menjadi penerjun pada sesi pertama memandangkan kami sudah pernah membuat penerjunan sebelum ini. Segamat Golf and Country Club adalah Drop Zone (DZ) yang terdapat di Malaysia selain daripada di Bidor Perak.

Kapal terbang Cessna 172

Kami diterbangkan oleh pesawat Cessna 172. Terdapat hanya 4 orang di dalam pesawat ini. Seorang juruterbang, seorang jumpmaster dan 2 orang penerjun. Tuan Khairil menjadi penerjun pertama, orang yang akan mula sekali terjun dari pesawat dan diikuti saya.

Saya bersut kuning berjalan di belakang tuan Khairil.

Saya terjun pada ketinggian 3500 kaki dari aras laut menggunakan payung terjun SKYMASTER. Saya masih lagi menggunakan static line. Static line adalah tali yang menghubungkan pin pada payung dengan pesawat. Apabila seseorang penerjun static line terjun dari pesawat, tali akan menjadi tegang dan menarik pin pada payung menyebabkan payung terbuka. Para penerjun baru juga dibekalkan dengan walkietalkie yang digunakan untuk mendengar arahan instructor.

Walaupon saya sudah melakukan 3 kali terjunan tetapi sudah hampir 7 tahun saya meninggalkan aktiviti ini, perasaan berdebar-debar menyelubungi diri saya. Alhamdulillah saya berjaya juga keluar dari pesawat selepas mendengar arahan jumpmaster.

Di angkasaraya

Semasa di angkasa, saya mendengar arahan daripada instructor melalui walkie talkie dengan berhati-hati agar tidak tersasar atau terjadi perkara yang tak diingini. Walaubagaimanapon, entah kenapa, pada satu ketika, saya tidak mendengar arahan melalui walkie talkie. Dengan mengandaikan saya berada pada arah yang betul selepas arahan yang terakhir, saya terus mengemudi payung.

Tiba-tiba, saya terdengar arahan supaya berpatah balik ke DZ. Rupa-rupanya saya telah tersasar menjauhi DZ kerana leka menikmati pemandangan dan hanya bergerak berpandukan arahan yang diberi. Beberapa ketika kemudian, saya dengar arahan untuk mencari tempat lapang. Terdapat 2 orang yang bercakap memberi arahan pada saya.

Alhamdulillah, saya berjaya mengawal diri dari perasaan cemas. Saya melihat keadaan sekitar untuk mencari tempat mendarat kerana kami telah diajar mendarat semasa ground course. Berlegar-legar difikiran saya apa yang perlu saya lakukan kerana terdapat banyak pokok di bawah, ada kawasan berair, rumput dan tanah gambut. Paling berlegar-legar difikiran saya adalah cara mendarat merempuh pokok kerana terdapat pokok kelapa sawit di kawasan tersebut.

Dalam ground course, kami diajar untuk mendarat dikawasan yang diyakini selamat berbanding tempat yang nampak empuk iaitu di atas rumput. Ini kerana tidak dapat dipastikan apa yang mungkin berada di dalam rumput tersebut, kayu, besi, binatang, batu tajam dan sebagainya yang boleh membahayakan diri penerjun.

Alhamdulillah, semasa melihat saya telah menghampiri tanah, saya berada di kawasan tanah gambut. Agak tidak merbahaya dan saya telah mendarat dengan selamat. Ini adalah kali pertama saya mendarat seorang diri. Apa yang berlaku membuatkan saya lebih yakin pada diri sendiri.

Beberapa ketika kemudian, saya terdengar melalui walkie talkie , juruterbang memaklumkan lokasi saya pada instructor. Adalah lebih mudah kenalpasti lokasi memandangkan beliau berada di atas.

Agak lama juga bagi saya menunggu ketibaan para penyelamat kerana ini adalah kejadian kali pertama bagi diri saya. Kami juga tidak dibenarkan memakai jam tangan kerana dikhuatiri boleh mengganggu tali payung semasa payung terbuka. Benarlah kata-kata pujangga, penantian satu penyeksaan.

Semasa berlegar-legar di kawasan sekitar, saya terdengar jeritan “jumper! jumper!”. Akhirnya, penyelamat saya dah tiba. Saya dibawa menaiki 4×4 kembali ke DZ. Di DZ, saya dimaklumkan instructor sedang mengemudi tuan Khairil dan dalam masa sama, saya telah tersasar jauh dari DZ.

Ini juga pengalaman pertama bagi isteri dan anak saya melihat saya melakukan penerjunan dan juga mereka telah melihat saya telah tersasar dari DZ buat kali pertama. Apa perasaan mereka? Wallahualam.
Tetapi isteri saya berpesan pada saya agar jangan lagi mendarat di kawasan lain, nanti dia risau :D Kasih seorang isteri ;)

Bersama keluarga tercinta

Sebelum terjunan ke 5 bersama Tuan Khairil

Pada hari yang sama, saya juga telah melakukan penerjunan kali ke 5. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan saya selamat mendarat di DZ. Pada penerjunan ke 5, awal-awal lagi saya mendapat arahan daripada instructor untuk mengemudi payung sendiri supaya saya dapat berdikari di angkasa.

Mendarat dengan selamat untuk terjunan ke 5


Pengalaman yang mengujakan saya pada terjunan ke 4, dan  pada terjunan ke 5, saya berjaya keluar dari pesawat dengan baik. Pada akhir terjunan, kami adakan semula post mortem untuk memperbaiki kelemahan supaya terjunan yang lebih baik dapat dilakukan lain kali.

Senarai nama penerjun pada hari tersebut. Saya disesi 1 dan 9

InsyaAllah menunggu cadangan jumpmaster, memungkinkan saya melakukan  freefall, tanpa tali statik lagi dan akan keluar dari pesawat  pada aras ketinggian lebih dari 3500kaki, untuk ke “Next Level”.

Satu lagi penantian 10 September 2011.

Gambar kenang-kenangan bersama Team Polis Johor, penerjun luar negara, tenaga pengajar dan juga juruterbang.

Related Posts with Thumbnails