Archive for January, 2008

Expo Keusahawanan Islam Perlis

Assalamualaikum
Syarikat saya (Abi Agro) akan membuka booth di Expo Keusahawanan Islam Negeri Perlis pada 25-27 Jan 2008. Kepada mereka yang berada di kawasan sekitar, bolehla datang ke Expo tersebut.

Sekarang saya sedang menanam anak pokok rock melon di Jabatan Pertanian. Banyak perkara yang saya dapat belajar sehingga saat ini.

1 Pengusaha, 5 Projek

Assalamualaikum
Hari ini saya mengupah 2 orang pekerja untuk masukkan sekam+sabut dalam polibeg di Projek Fertigasi Bukit Temiang. Insyaallah dalam 1 hari semuanya siap 400 polibeg. Kemudian, saya akan mengupah mereka untuk menyusun bata. Insyaallah akan dibincangkan kemudian kerana dalam perjanjian, hanya masukkan sekam+sabut dalam polibeg.

Bagaimana seorang pengusaha boleh buat 5 projek? Sebenarnya, banyak kerja yang mampu dilakukan oleh seseorang. TETAPI, dengan bantuan orang lain.

Anda boleh melakukan banyak projek yang anda impikan. Caranya, buat sesuatu projek sehingga berjaya dan kemudian beralih ke projek yang lain. Projek yang telah berjaya itu diteruskan dengan bantuan pekerja. Pastikan anda buat sesuatu projek sehingga berjaya dan kemudian barulah beralih ke projek lain.

Walaupon anda mengupah pekerja, anda perlu memantau kerja yang dilakukan oleh pekerja tersebut. Contohnya dalam sehari, perlu ke tempat projek walaupon sekejap.

Adakah semua projek boleh dilakukan secara serentak? Secara logiknya, semua projek memang boleh dilakukan serentak. Tetapi, pastikan projek yang dilakukan berjaya kemudian barulah beralih ke projek yang lain.

Teknologi Aeroponik

Selasa, 27 Julai 1999
Oleh: NOOR HAZANI MUSA

SARANAN kerajaan agar sektor pertanian menumpukan kepada pengeluaran makanan menjadi dorongan kepada Sime Darby, sebuah syarikat yang terkenal dengan ladang-ladangnya yang luas, untuk beralih kepada pertanian intensif dalam bentuk pengeluaran sayur-sayuran.

Menerusi anak syarikatnya, Sime Aerogreen Technology Sdn. Bhd. (Sime Aerogreen), ia telah berjaya mewujudkan satu kawasan penanaman berteknologi tinggi di kawasan seluas lima hektar berhampiran Seremban. Ladang terletak di sebelah Lebuh Raya Utara-Selatan itu mencatatkan sejarah tersendiri sebagai ladang aeroponik pertama di Malaysia.

Menurut Pengarah Urusan Sime Aerogreen, Abdul Shukor Nagor, ladang tersebut sebenarnya mempunyai ciri-ciri yang lebih menyamai sebuah kilang kerana ia tidak menggunakan tanah, tidak berbau dan tidak bergantung kepada cuaca.

”Pengeluaran tanaman daripada ladang ini boleh dilakukan 365 hari setahun, dalam apa jua cuaca, sama seperti sebuah kilang,” katanya semasa memperkenalkan ladang itu kepada sekumpulan wartawan baru-baru ini.

Beliau berkata, peralihan kepada sektor pengeluaran makanan merupakan satu tindakan strategik bagi kumpulan Sime Darby. Projek tersebut, yang menumpu kepada penanaman sayuran iklim sederhana dan sub-tropika, menelan belanja RM13 juta dan telah beroperasi pada Februari lalu.

Adalah diharapkan dengan adanya projek tersebut, import makanan negara yang kini berjumlah RM800 juta dapat dikurangkan pada masa depan. Ladang ini dijangka mampu mengeluarkan 400 tan metrik sayur-sayuran setahun.

Sayur yang dipasarkan di bawah jenama Sime Fresh itu kini boleh didapati di kira-kira 60 buah pasar raya di sekitar Lembah Klang dan Seremban. Orang ramai juga boleh membeli sayur-sayuran tersebut terus dari ladangnya yang terletak di Kilometer 4 Jalan Labu.

Di samping rumah hijau berautomasi, ladang itu juga mempunyai kawasan membersih dan membungkus, kemudahan penyelidikan, bilik persidangan dan asrama kakitangan.

Menurut Abdul Shukor, antara keistimewaan sayur aeroponik ialah kandungan bahan galian seperti kalsium, potasium, magnesium dan zat besi yang lebih tinggi daripada sayuran biasa, tidak menggunakan sebarang pestisid, lebih segar dan tahan lebih lama dalam simpanan, kurang pembaziran (semua bahagian sayuran itu boleh digunakan) serta lebih sedap. Sayur iklim sederhana yang ditanam di situ ialah salad jenis Golden Butterhead, Royal Romaine, Imperial Batavia dan Grand Lollo Rossa, manakala jenis sayuran sub-tropika pula ialah Kai Lan Jepun, Sawi Shantong, Sawi Putih Emperor, Sawi Putih Princess dan Sawi Putih Nai.

”Kami melihat kaedah ini berpotensi untuk berkembang, dan kami sedang mengkaji kemungkinan untuk mengeksport sayur-sayuran ini serta memperluaskan kawasan penanaman ke negara-negara yang tinggi kadar pengambilan sayur-sayuran atau ke negara yang sumber airnya terhad,” kata Abdul Shukor.

Selain sayur-sayuran hijau, bahagian penyelidikan syarikat tersebut juga sedang mengkaji kaedah penanaman sayuran berbuah seperti tomato dan timun, serta herba masakan secara aeroponik.

”Penanaman sayuran berbuah ini akan dibuat di bahagian atas ladang, yang bakal dimajukan sebagai kawasan pelancongantani (agrotourism) menjelang akhir tahun ini,” kata Pengarah Penyelidikan Sime Aerogreen, Joseph Tek Choon Yee.

Beliau berkata bahagian penyelidikan telah memperoleh 10 peratus daripada peruntukan modal ladang untuk menjalankan kajian terhadap jenis sayur-sayuran yang sesuai dimajukan.

Katanya, penanaman herba masakan yang dibuat di bahagian penyelidikan bukanlah untuk pasaran besar kerana matlamatnya adalah pasaran herba basah, dan pada masa ini ‘pasaran herba basah agak kecil di negara kita’.

Antara herba masakan yang boleh didapati di ladang ini ialah selasih (basil), oregano, dil, thyme dan lemon balm.

Menurut Joseph, sayur-sayuran yang ditanam secara aeroponik boleh dimakan terus (tanpa dibasuh) kerana proses penanamannya bersih disebabkan ia terlindung daripada hujan manakala semburan nutrien pula hanya terkena pada bahagian akar dan tidak pada batang atau daun pokok.

Penanaman aeroponik adalah kaedah penanaman tanpa tanah yang dapat menjimatkan penggunaan air. Berbeza dengan kaedah hidroponik yang memerlukan akar tanaman terendam dalam nutrien, kaedah aeroponik memerlukan ruang udara antara akar pokok dan paip yang menyemburkan nutrien dan air untuk melembapkan dan menyuburkan pokok.

Proses penanaman bermula dengan percambahan biji benih. Setelah dua hari di dalam bilik percambahan, anak pokok itu dipindahkan ke tapak semaian dan dibiarkan selama dua minggu sebelum diletakkan di atas palong di dalam rumah hijau. Di rumah hijau itu, sayur-sayur berkenaan akan dibiarkan membesar sehingga sampai masa untuk dituai.

Palong-palong di rumah hijau itu diperbuat daripada polistyrene untuk mengelak penyerapan haba. Di bahagian tengah palong diletakkan paip yang mempunyai alat semburan yang direka khas pada jarak yang tertentu.

”Alat penyembur itu akan menyemburkan nutrien dan air yang telah disejukkan ke bahagian akar tanaman pada kekerapan tertentu. Ruang yang ada antara paip dan akar tumbuhan itu membolehkan tanaman memperoleh oksigen secukupnya untuk pembesaran yang lebih cepat dan sihat.

”Semburan air sejuk itu dapat ‘menipu’ tanaman sehingga membolehkan kita menanam sayur iklim sederhana di kawasan rendah dan panas seperti di sini,” kata Joseph.

Menurutnya, dua elemen penting dalam proses aeroponik ialah air dan bekalan elektrik. Kaedah aeroponik merupakan kaedah yang paling menjimatkan air, iaitu menggunakan kira-kira 10 peratus air yang digunakan dalam kaedah hidroponik. Lebihan air semburan di palong akan dikumpulkan dan disalurkan kembali ke tempat penyejuk untuk dikitar semula dalam proses semburan berikutnya.

”Sistem aeroponik merupakan sistem penanaman paling efisien dari segi penggunaan air. Pengaliran air dilakukan dalam satu aliran tertutup, dan ini bermakna, tidak ada sebarang bahan cemar terlepas ke persekitaran,” kata Joseph.

Manakala tenaga elektrik pula penting untuk menggerakkan alat penyejuk serta peralatan komputer canggih yang digunakan untuk mengawal setiap peringkat proses penanaman itu. Kawalan komputer ini memudahkan proses memantau parameter-parameter penting dalam proses berkenaan.

Seperkara lagi unik mengenainya ialah tidak ada racun serangga digunakan dalam proses penanaman itu. Menggunakan sistem Pengurusan Serangga Bersepadu (IPM), ladang itu hanya meletakkan perangkap lekit, perangkap hormon dan perangkap lampu sebagai kaedah tambahan untuk mengawal serangga yang sebahagian besarnya dapat disingkirkan dengan adanya skrin halus di rumah hijau itu.

”Kaedah penanaman ini mempunyai hasil tuai yang lebih tinggi, lebih baik peluang untuk hidup dan paling jimat menggunakan air,” katanya.

Memandangkan segala proses penanaman dikawal komputer, ladang ini memerlukan tenaga kerja minimum tetapi berpengetahuan tinggi, kata Pengurus Ladang, Lee Cheng Yee.

Cuma 15 pekerja termasuk lima di peringkat pengurusan, diperlukan untuk melakukan kerja-kerja di kawasan ladang seluas 5 hektar ini. Panel kawalan akan membunyikan alat penggera jika berlaku sebarang masalah dalam proses penanaman itu dan tiga kakitangan, yang terdiri daripada seorang jurutera dan dua orang penyelia yang tinggal dalam kawasan ladang, akan membuat pemeriksaan mengesan puncanya. Konsep aeroponik ini telah dimajukan oleh seorang profesor di Singapura yang telah mewujudkan ladang aeroponik pertama di Republik itu.

”Di ladang ini, kami cuma mengambil konsepnya manakala segala reka bentuk bangunan dan kawasan dilakukan sendiri,” ujar Lee.

Pada masa ini ladang itu mampu mengeluarkan hasil antara 10 hingga 11 tan metrik sebulan, namun ia mampu menghasilkan kira-kira 1 tan metrik sehari.

Fertigasi Bukit Temiang

Assalamualaikum
Alhamdulillah, seawal tahun 2008, tadi saya diterima untuk mengusahakan projek fertigasi Rock Melon di Jabatan Pertanian Perlis, Bukit Temiang. Projek ini diusahakan oleh 4 orang peserta dan setiap orang mendapat Rumah Hujan beserta akan mengusahakan 400 polibeg Rock Melon.

Pembabitan saya dalam projek ini hanyalah untuk tujuan pembelajaran memandangkan saya belom lagi mempunyai pengalaman dalam tanaman Rock Melon. Peralatan fertigasi yang diguna pakai dalam projek ini sedikit berlainan daripada projek fertigasi yang pernah saya tengok dan yang pernah saya belajar. Pada pengamatan saya, lebih memudahkan pengusaha.


Rumah Lindungan Hujan dan sistem dripper yang akan saya usahakan

Selamat Tinggal 2007

Assalamualaikum
Sekarang, umur saya telah menjangkau 27 tahun. Cita-cita saya belum lagi tercapai. Tapi, alhamdulillah, saya masih lagi berada di landasan yang betul untuk mencapai cita-cita saya.

Malam tadi, sebelum tidur, saya telah review balik apa yang telah saya capai pada tahun 2007.
1. Bekerja sendiri (Syarikat Abi Agro)
2. Membuat pertanian moden (fertigasi)
3. Menjadi konsultan fertigasi
4. Berkongsi ilmu yang ada dengan orang lain (mohdashraf.com)
5. Menjual barang hasil keluaran sendiri (cili, pokok dan Set Mini Fertigasi)

Ramai yang bertanya saya banyak soalan tentang pertanian, penternakan dan perniagaan. Rasanya satu perkembangan yang positif untuk saya. Sebab bila saya menjawab soalan yang dikemukakan, saya dapat berkongsi ilmu dan menambah ilmu yang ada. Setiap soalan yang dikemukakan, membuatkan saya berfikir dengan lebih jauh lagi.

Terima kasih kepada semua terutama mereka yang mendoakan kejayaan saya. Saya doakan semoga anda semua pon berjaya dalam bidang masing-masing dan sentiasalah berfikiran positif sebab jika kita yakin dengan apa yang kita fikir, insyaAllah, ianya seumpama doa dan insyAllah akan tercapai.

Tips terakhir untuk kali ini, bila berfikir tentang perkara positif, jangan hanya berfikir semata-mata. Cuba bayangkan apa yang akan berlaku. InsyaAllah berkesan. Cara ini paling banyak saya amalkan di trafik light. Bila nak sampai saja trafik light, saya bayangkan saya tidak berhenti kenderaan dan teruskan perjalanan sebab lampu merah bertukar hijau. Saya bayangkan juga keadaan lampu merah tu bertukar hijau dan saya meneruskan perjalanan walaupon perlahan asalkan tidak berhenti. Alhamdulillah setakat ni, pemikiran positif menggunakan kuasa minda yang saya amalkan, menjadi. Jarang saya berhenti di lampu merah. Adakah ianya kebetulan? Terpulang pada pemikiran masing-masing. Tapi memang ada kuasa pada minda kita semua. Sebab tu dari dulu lagi ramai motivator yang berkata “sentiasa berfikiran positif”. Tapi mungkin ada yang kurang faham, kena bayangkan apa yang akan berlaku, bukan hanya berfikir.

Sampai jumpa lagi…. Selamat Datang 2008

Projek Jagung Manis NCER

Pada 30 Disember lalu, saya ke Bukit Kayu Hitam menghantar Set Mini Fertigasi Abi Agro kepada salah seorang pelanggan. Sampai di sana, saya ternampak signboard Projek Jagung Manis yang besar di tepi jalan.

Selepas saya pasang Set Mini Fertigasi Abi Agro untuk pelanggan, terus saya ke Projek Jangung Manis di Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam. Jauh juga jalan masuk ke projek tersebut dari jalan utama. Perlu melalui ladang getah dan naik turun bukit.

Rupa-rupanya projek jagung manis ni dibuat berhampiran sempadan Malaysia Thailand. Saya tinggalkan IC di pos kawalan tentera dan perlu melalui 2 pos kawalan lain untuk sampai ke projek jagung manis. Sampai di tapak projek jagung manis, saya berjumpa dengan pegawai yang menguruskan tempat tersebut kerana rupa-rupanya, projek ini belum dibuka kepada orang awam lagi. Tapi disebabkan saya dah pon sampai ke sini, jadi beliau sanggup melayan pertanyaan saya.


Sempadan Malaysia-Thailand

Projek Jagung Manis ni dibuat di atas tanah bukit seluas 800 hektar. Projek ini akan dijalankan oleh beberapa peserta dibawah seliaan Sime Darby. Tapi masa saya sampai, projek ini baru diperingkat permulaan dan dijalankan sendiri oleh Sime Darby.


Pintu masuk ke Projek Jagung Manis


Tanaman jagung, seluas mata memandang


Anak pokok jagung manis


Pokok jagung manis dalam pasu untuk pameran. Boleh ditiru ni :D

Dalam perjalanan pulang pula, saya ternampak tanaman getah yang di integrasikan dengan tanaman tembikai. Disebabkan anak pokok getah ni masih kecil, memang sesuai diintegrasikan dengan tanaman lain, untuk memberi pulangan yang cepat, sekurang-kurangnya, dapat menampung keperluan baja pokok getah tu nanti.

Related Posts with Thumbnails