Saat saya menulis tika ini, ada beberapa jam lagi kita akan melangkah ke tahun baru, 2011.

Banyak perkara-perkara yang berlaku dalam diri saya dan juga syarikat ABI AGRO. Alhamdulillah. Perancangan yang dirangka ada yang berjaya dilaksanakan, dan pada hemat saya, tahun ni adalah tahun yang begitu memberangsangkan dari tahun yang lepas.

Diharapkan tahun hadapan lebih baik. InsyaAllah.

Tahun ini saya mulakan tanaman rock melon. Tapi kurang menjadi sebab kekurangan air masa pembesaran buah. Ianya disebabkan masa buah nak membesar, saya ke Sarawak selama seminggu, tiada penjaga kebun, hanya timer dan pum yang bekerja mengalirkan air kosong ke pokok. Jadi buah kecil molek yang manis. Buah pula di node yang atas, tak sempat bantu pendebungaan.

Dan kenangan paling manis, dikunjungi Dr Mahmud Shahid daripada MARDI Serdang di kebun.

Kemudian, perancangan dibuat untuk mengambil pekerja dikebun. Untuk mencapai matlamat tersebut, saya telah membina sebuah rumah pekerja. Iya la, kalau ada pekerja, tadak tempat tinggal, masalah jugak kan? :D

Guna kayu 2nd hand,bata sedia ada. 1 ruang untuk tidur dan dapur. Ada bilik air. Kos rumah ni RM4K termasuk upah.

Bermula dengan pencarian pekerja warga Thailand hasil bantuan rakan, saya dapat mengupah sepasang suami isteri untuk bekerja di kebun. Banyak juga hal yang berlaku semasa mengambil mereka bekerja yang tak dapat diceritakan disini. Yang pasti, legal :D .

Dalam masa yang sama, saya juga menjadi kontraktor membekal alatan serta benih pertanian ke Universiti Malaysia Perlis serta Jabatan Pertanian Negeri Perlis. Antaranya…

Saya juga telah memerterai perjanjian sewa tanah, sebanyak 5 relong di Perlis untuk mengusahakan tanaman jagung manis. Ladang ini akan diuruskan bersama seorang rakan, dibantu oleh pekerja Thai saya.

TETAPI…. jeng! jeng! jeng!

Pekerja Thailand yang saya ambil telah minta untuk pulang melawat ibu yang sakit. Janjinya 10 hari, datang balik bekerja, tapi selepas 1 bulan, baru ada perkhabaran minta duit untuk masuk Malaysia, kembali bekerja. Disebabkan selepas 1 bulan baru mereka hubungi saya, saya berhentikan mereka.

Ketiadaan mereka menyebabkan kebun saya kurang terurus disebabkan saya sibuk dengan kerja kontraktor. Selain membekal, saya juga membuat pemasangan sistem pengairan, fertigasi serta konvensional. Tak dilupakan memasang rumah lindungan hujan. Antaranya…

Nasib baik ladang jagung belum diusahakan.  Alhamdulillah.

Dan… kenangan yang tak best tapi tak ingin dilupakan, kebun saya dilanda banjir, hampir ke paras lutut. Memusnahkan semua tanaman yang diusahakan. Satu ujian pada saya, memandangkan segala wang dan tenaga disalurkan pada kebun tersebut. Rupanya tuhan berikan pekerja bermasalah kepada saya untuk saya dapat pengalaman mengambil dan menguruskan pekerja asing dan, jika mereka terus bekerja, saya akan bermasalah untuk menempatkan mereka disebabkan banjir.


Peace Ihtisham!

Selepas banjir, dalam tahun ini juga, tanah kebun fertigasi telah berjaya dipenuhkan dengan rumah lindungan hujan. Terima kasih atas bantuan Jabatan Pertanian Perlis.

Baru-baru ini, saya telah diajak JV oleh seorang pengusaha cili fertigasi. Beliau mempunyai 3 orang pekerja. Dan, yang paling bagus JV ini, saya boleh menggunakan pekerja kebun fertigasi cili “kami” ;D di kebun fertigasi saya.

Alhamdulillah… alhamdulillah… alhamdulillah… bersyukur sangat-sangat.

Jadi, untuk tahun hadapan (esok le tu… ), perancangan saya adalah mengusahakan kebun fertigasi saya sebanyak 17 buah rumah lindungan hujan, memantau projek JV kebun fertigasi cili yang sedang beroperasi, memulakan projek jagung, dan bermula Isnin ini, syarikat saya telah menerima seorang bakal pesara UUM untuk menjalani latihan selama 3 bulan di Abi Agro.

Dalam kesempatan ini, saya ingin memohon maaf jika ada salah silap(mesti ada punya) kepada semua orang. Terutama yang selalu membaca blog ini tapi dah lama tak dapat baca tulisan terbaru, pengomen-pengomen sekalian, pelanggan Abi Agro, hampir 3 bulan saya tutup kedai online disebabkan sibuk kerja luar. InsyaAllah saya akan membuka semula kedai online Abi Agro pada Isnin ini.

Selamat Tahun Baru kepada semua, semoga tahun 2011 tahun yang lebih menyenangkan dan menggembirakan serta memberi banyak kemewahan kepada semua.

Related Posts with Thumbnails