Archive for August, 2011

Ubi keledek fasa 2

Ini adalah keadaan kebun fasa pertama.

Pagi tadi saya dihubungi oleh rakan kongsi saya(bukan kongsi gelap :D ) . Saya dimaklumkan yang tanah kebun sebelah sedang dibersihkan. Alhamdulillah, cepat gerakan tuan punya traktor.

Nun di sebelah kanan atas traktor sedang potong rumput

Kami bercadang untuk masukkan benih keledek baru selepas hari raya. Jadi kena sediakan tapak secepat mungkin memandangkan ada hujan turun beberapa hari ni. Kalau hujan dah turun, alamat tergendala lagi projek kami seperti telah terjadi pada fasa pertama.

Tapak kebun ubi keledek fasa 2

Keluasan untuk fasa ke 2 ni adalah 5.5 relong. Tapi kawasan tu termasuk dengan sedikit tanah bendang dan kolam kecil. Anggaran untuk tanaman keledek hanya 4.5 relong saja.

Bagi tapak baru, akan ditanam sebanyak 40,500 batang benih ubi keledek.  Ini adalah anggaran saja memandangkan benih ditanam mengikut batas, dan batas dibuat sebaik mungkin oleh traktor yang dikendali oleh manusia. Jadi mana mungkin nak dapat batas yang sempurna serta mana mungkin benih dapat ditanam mengikut jarak 25cm hingga 30cm. :D

Sebelah kiri kebun fasa 1, kanan kebun fasa 2

Harapan agar benih dapat ditanam melebihi anggaran.

Rumput yang telah dipotong ni akan dibiarkan 2 hingga 3 hari, kemudian akan dibakar. Pembakaran dibuat untuk membakar daun rumput , akar rumput dan biji benih rumput. Ini akan mengurangkan pertumbuhan rumput baru kelak. Selain daripada itu, tanah yang dibakar juga akan menyuburkan lagi tanah.

Selepas bakar rumput, traktor akan turun lagi ke kebun untuk gembur tanah. InsyaAllah cerita tentang ni akan saya kemas kini lagi nanti.

Projek ubi keledek

Jika ada pembaca masih ingat, saya telah khabarkan projek baru di Padang Lati, Perlis.
Kebun ini saya namakan Kebun Padang Lati. Kebun ini dikongsi bersama 2 lagi orang rakan.

Benih ubi keledek yang dah berakar.

Pada penghujung bulan 5 2011, kebun ini telah dimasukkan benih ubi keledek. Pada peringkat awal, sebanyak 5000 benih ubi keledek ditanam ke dalam batas kebun ini. Tanaman ditanam menggunakan khidmat pekerja Bangladesh seramai 3 orang.

Tanaman ubi peringkat awal.

Semasa proses memenuhkan kebun dengan pokok ubi berjalan, cuaca di kebun agak panas. Banyak pokok yang tidak mampu bertahan dan mati akibat suhu panas yang agak tinggi. Jadi kami mengambil keputusan untuk menangguhkan dulu tanaman sehinggalah hujan turun.

Tanaman pokok ubi kali ke 2

Alhamdulillah, setelah seminggu, hujan mula turun. Kebun diteruskan dengan penanaman semula pokok ubi keledek. Kali ini dibantu oleh sekeluarga pekerja daripada Kodiang. Kerja penanaman dijalankan dengan lancar memandangkan mereka sekeluarga telah mempunyai pengalaman menanam ubi keledek.

Namun begitu, kami mengalami masalah benih yang tidak boleh dibekalkan pembekal dalam masa yang telah kami tetapkan. Ini membuatkan pokok ubi keledek kami tidak dapat ditanam secara serentak.

Sebanyak 11000 benih telah ditanam di dalam kebun Padang Lati seluas 3 relong.

Rumput selepas diracun

Setelah sebulan selepas penanaman terakhir, kebun mula ditumbuhi rumput. Kerja-kerja meracun rumput dilakukan dengan menggunakan racun jenis paraquat. Racun ini akan membunuh bahagian yang terkena racun saja. Jadi, kalau terkena pokok ubi keledek, ia tidak akan membunuh pokok tersebut.

Angkat pokok ubi keledek

Dalam masa sama, pokok ubi yang menjalar perlu diangkat supaya ruas yang terkena tanah tidak berakar. Keadaan ruas berakar akan mengurangkan tumbesaran ubi kelak.

Pokok ubi keledek

Daun ubi keledek yang subur

Tanah merekah menunjukkan tumbesaran ubi keledek di dalam tanah.

Beginilah keadaan pokok ubi setelah berumur 60 hari. InsyaAllah boleh dipungut hasilnya pertengahan bulan sembilan 2011.

Terjun payung lagi

Pada 9 Julai 2011 yang lepas, saya telah melakukan penerjunan kali ke 4 dan ke 5 di Segamat Johor.
Alhamdulillah, kali terakhir saya melakukan penerjunan adalah pada tahun 2003.

Videonya ada pada post yang lepas.
http://mohdashraf.com/v1/uncategorized/3rd-jump/

Penerjunan kali ini amat bermakna, kerana ditemani isteri dan anak.
Saya mengambil keputusan untuk menaiki keretapi Arau – Sentral Kuala Lumpur kemudian Sentral Kuala Lumpur – Segamat.
Agak lama juga dalam keretapi, tetapi memandangkan saya sudah biasa dengan keretapi, alhamdulillah, perjalanan yang menyeronokkan buat kami sekeluarga.

Ihtisham bersama katilnya.

Perjalanan mengambil masa selama 10 jam dari Arau ke Sentral Kuala Lumpur.  Saya memilih kabin kerana kami dapat tidur dengan selesa sekeluarga. Tapi harganya agak mahal sedikit.
Untuk pengetahuan, kabin yang saya maksudkan adalah bilik yang mempunyai katil atas dan bawah. Jadi di dalam bilik tersebut ada privasi buat kami sekeluarga. Ada juga disediakan TV di dalam kabin tetapi  rosak pula. Nasib baik saya bawa komputer riba bersama. Dapatlah kami menonton muvi walaupon skrinnya 12 inci.

Selain daripada dapat tidur di dalam keretapi, terdapat juga kantin dan tandas. Begitu selesa bagi saya berbanding pengangkutan awam lain.

Bertolak dari Arau jam 7.10 malam dan tiba di Sentral Kuala Lumpur jam 5.30 pagi. Seronok betul Ihtisham dapat naik keretapi. Selepas sembahyang Subuh dan mandi di Sentral Kuala Lumpur, kami bersarapan sambil menunggu jam 9.00 pagi untuk menaiki keretapi ke Segamat pula. Kali ni yang ada hanya kerusi sebab katil disediakan untuk perjalanan malam sahaja. Takan nak tidur disiang hari pulakan? :D Dalam perjalanan disiarkan muvi Clash of The Titan. Saya jeling sekali sekala saja sebab dah tengok sebelum ni.

Mengisi masa lapang di dalam keretapi.

Kami tiba di Segamat setelah melalui beberapa perhentian. Maklumlah naik KTM Antara Bandar.  Pertama kali kami tiba di Stesen Keretapi Segamat dan ianya bersebelahan dengan Stesen Bas dan Teksi. Jalan kaki saja untuk menaiki teksi ke hotel.

Jam 6.00 petang hari yang sama, saya seorang diri menaiki teksi ke Segamat Golf and Country Club untuk ikuti ground course. Maklumlah, dah 7 tahun tinggalkan aktiviti skydive ni. Berdebar-debar tetapi teruja untuk terjun lagi. Habis ground course jam 10.00 malam. Bagi penerjun yang ingin terjun buat kali pertama, kami perlu ikuti sehari ground course sehari sebelum penerjunan. Ya, sehari sudah mencukupi.

Ground course daripada En Azlan KL Skydive

Hari ke 2, jam 8.00 pagi saya bersama keluarga  menumpang kereta Tuan Khairil, rakan baru saya, juga penerjun  ke Segamat Golf and Country Club selepas sarapan dan check out dari hotel. Tuan Khairil dan saya telah dimaklumkan oleh instructor untuk menjadi penerjun pada sesi pertama memandangkan kami sudah pernah membuat penerjunan sebelum ini. Segamat Golf and Country Club adalah Drop Zone (DZ) yang terdapat di Malaysia selain daripada di Bidor Perak.

Kapal terbang Cessna 172

Kami diterbangkan oleh pesawat Cessna 172. Terdapat hanya 4 orang di dalam pesawat ini. Seorang juruterbang, seorang jumpmaster dan 2 orang penerjun. Tuan Khairil menjadi penerjun pertama, orang yang akan mula sekali terjun dari pesawat dan diikuti saya.

Saya bersut kuning berjalan di belakang tuan Khairil.

Saya terjun pada ketinggian 3500 kaki dari aras laut menggunakan payung terjun SKYMASTER. Saya masih lagi menggunakan static line. Static line adalah tali yang menghubungkan pin pada payung dengan pesawat. Apabila seseorang penerjun static line terjun dari pesawat, tali akan menjadi tegang dan menarik pin pada payung menyebabkan payung terbuka. Para penerjun baru juga dibekalkan dengan walkietalkie yang digunakan untuk mendengar arahan instructor.

Walaupon saya sudah melakukan 3 kali terjunan tetapi sudah hampir 7 tahun saya meninggalkan aktiviti ini, perasaan berdebar-debar menyelubungi diri saya. Alhamdulillah saya berjaya juga keluar dari pesawat selepas mendengar arahan jumpmaster.

Di angkasaraya

Semasa di angkasa, saya mendengar arahan daripada instructor melalui walkie talkie dengan berhati-hati agar tidak tersasar atau terjadi perkara yang tak diingini. Walaubagaimanapon, entah kenapa, pada satu ketika, saya tidak mendengar arahan melalui walkie talkie. Dengan mengandaikan saya berada pada arah yang betul selepas arahan yang terakhir, saya terus mengemudi payung.

Tiba-tiba, saya terdengar arahan supaya berpatah balik ke DZ. Rupa-rupanya saya telah tersasar menjauhi DZ kerana leka menikmati pemandangan dan hanya bergerak berpandukan arahan yang diberi. Beberapa ketika kemudian, saya dengar arahan untuk mencari tempat lapang. Terdapat 2 orang yang bercakap memberi arahan pada saya.

Alhamdulillah, saya berjaya mengawal diri dari perasaan cemas. Saya melihat keadaan sekitar untuk mencari tempat mendarat kerana kami telah diajar mendarat semasa ground course. Berlegar-legar difikiran saya apa yang perlu saya lakukan kerana terdapat banyak pokok di bawah, ada kawasan berair, rumput dan tanah gambut. Paling berlegar-legar difikiran saya adalah cara mendarat merempuh pokok kerana terdapat pokok kelapa sawit di kawasan tersebut.

Dalam ground course, kami diajar untuk mendarat dikawasan yang diyakini selamat berbanding tempat yang nampak empuk iaitu di atas rumput. Ini kerana tidak dapat dipastikan apa yang mungkin berada di dalam rumput tersebut, kayu, besi, binatang, batu tajam dan sebagainya yang boleh membahayakan diri penerjun.

Alhamdulillah, semasa melihat saya telah menghampiri tanah, saya berada di kawasan tanah gambut. Agak tidak merbahaya dan saya telah mendarat dengan selamat. Ini adalah kali pertama saya mendarat seorang diri. Apa yang berlaku membuatkan saya lebih yakin pada diri sendiri.

Beberapa ketika kemudian, saya terdengar melalui walkie talkie , juruterbang memaklumkan lokasi saya pada instructor. Adalah lebih mudah kenalpasti lokasi memandangkan beliau berada di atas.

Agak lama juga bagi saya menunggu ketibaan para penyelamat kerana ini adalah kejadian kali pertama bagi diri saya. Kami juga tidak dibenarkan memakai jam tangan kerana dikhuatiri boleh mengganggu tali payung semasa payung terbuka. Benarlah kata-kata pujangga, penantian satu penyeksaan.

Semasa berlegar-legar di kawasan sekitar, saya terdengar jeritan “jumper! jumper!”. Akhirnya, penyelamat saya dah tiba. Saya dibawa menaiki 4×4 kembali ke DZ. Di DZ, saya dimaklumkan instructor sedang mengemudi tuan Khairil dan dalam masa sama, saya telah tersasar jauh dari DZ.

Ini juga pengalaman pertama bagi isteri dan anak saya melihat saya melakukan penerjunan dan juga mereka telah melihat saya telah tersasar dari DZ buat kali pertama. Apa perasaan mereka? Wallahualam.
Tetapi isteri saya berpesan pada saya agar jangan lagi mendarat di kawasan lain, nanti dia risau :D Kasih seorang isteri ;)

Bersama keluarga tercinta

Sebelum terjunan ke 5 bersama Tuan Khairil

Pada hari yang sama, saya juga telah melakukan penerjunan kali ke 5. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan saya selamat mendarat di DZ. Pada penerjunan ke 5, awal-awal lagi saya mendapat arahan daripada instructor untuk mengemudi payung sendiri supaya saya dapat berdikari di angkasa.

Mendarat dengan selamat untuk terjunan ke 5


Pengalaman yang mengujakan saya pada terjunan ke 4, dan  pada terjunan ke 5, saya berjaya keluar dari pesawat dengan baik. Pada akhir terjunan, kami adakan semula post mortem untuk memperbaiki kelemahan supaya terjunan yang lebih baik dapat dilakukan lain kali.

Senarai nama penerjun pada hari tersebut. Saya disesi 1 dan 9

InsyaAllah menunggu cadangan jumpmaster, memungkinkan saya melakukan  freefall, tanpa tali statik lagi dan akan keluar dari pesawat  pada aras ketinggian lebih dari 3500kaki, untuk ke “Next Level”.

Satu lagi penantian 10 September 2011.

Gambar kenang-kenangan bersama Team Polis Johor, penerjun luar negara, tenaga pengajar dan juga juruterbang.

Projek fertigasi untuk dijual

 

*UPDATE: Sudah Dijual

Selamat sejahtera semua pembaca blog.
Apa khabar harini?

Dalam post kali ni, saya iklankan projek fertigasi rakan saya.
Bukan hanya projek fertigasi, terdapat juga tapak projek tanaman secara konvensional.
Sesuai untuk mereka yang minat tapi tidak mempunyai tapak dan juga bagi mereka yang ingin meluaskan projek sedia ada. Lokasinya adalah di Melaka.

Rakan saya telah mengusahakan projek ini selama 2 tahun. Memandangkan terdapat kekangan masa kerana beliau berada di Kuala Lumpur, beliau telah mengambil keputusan untuk mengalihkan projek ini kepada orang lain.

Berikut adalah maklumat tentang projek fertigasi yang ingin dijual:

(Bukan jual tanah, tapi jual alatan yang siap dipasang dan tempat projek, tuan puan perlu menyewa tanah tersebut dengan tuan tanah).

Berikut adalah maklumat projek tersebut:

  • Tepi Jalan Utama
  • Tanah seluas 3 1/2 ekar
  • Untuk Fertigasi ada baki polibeg hitam dlm 3k bagi sistem fertigasi (Kena pipingkan balik, polytank 600gelen 2 biji, 400 gelen 2 biji, waterpump 2 hp 1 unit, tong baja 4 unit dah ada).
  • Untuk Tanaman Konvensional ada 10 batas sepanjang 100m setiap satu (Buat masa sekarang ada tanaman bendi)
  • Rumah Pekerja (Boleh Buat Ofis Juga )
  • 90% Kawasan telah berpagar.
  • Kemudahan Elektrik Dan Air Bersih.
  • Sewa yang berpatutan.

Beliau boleh tolong carikan pekerja jika memerlukan.

Gambar tapak dan projek yang telah diusahakan:

Kebun beserta rumah pam dan alatan.

Kebun cili fertigasi.

Kebun fertigasi dan konvensional.

Tanaman timun secara konvensional.

Pukat timun.

DVD Kursus Fertigasi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Apa khabar?
Bagaimana dengan puasa tuan puan muslim sekalian?
Sudah hari yang ke lapan kita di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.

Bagi yang pembaca blog saya, saya doakan semoga minggu ini memberi seribu keceriaan dan kemewahan kepada tuan puan sekalian.

Berkenaan dengan tajuk post pada hari ini adalah kursus fertigasi. Untuk pengetahuan, saya telah menanggguhkan seketika kursus fertigasi bermula Mei yang lepas. InsyaAllah akan disambung semula pada masa akan datang dan pastinya akan dimaklumkan pada tuan puan semua.

DVD Kursus Fertigasi

DVD Kursus Fertigasi, DVD video ini dihasilkan oleh Tuan Faidzal daripada Agro Fast Forward. Rakan penceramah saya dalam kursus fertigasi yang pernah kami jalankan di seluruh Malaysia.

Dalam DVD ini, telah dimasukkan sebanyak 6 modul di dalam empat keping DVD yang akan dihantar terus ke rumah tuan puan.
Modul-modul ini merangkumi pengenalan, penyemaian benih, penyediaan tapak dan pemasangan sistem, pengurusan dan penjagaan tanaman serta pengurusan hasil dan pemasaran.

Modul-modul ini lengkap huraiannya seperti dalam kursus sebenar. Tuan puan boleh memulakan tanaman secara fertigasi, samada secara komersial atau hobi setelah menonton video dalam DVD ini.

Jika tuan puan berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan DVD ini, boleh layari link di bawah:

Kursus Fertigasi

http://bit.ly/kursusfertigasi

Related Posts with Thumbnails