Archive for November, 2011

Keningau Kundasang bahagian 1

23 November 2011, keluarga saya dan keluarga ipar saya bercuti di Kundasang Sabah. Secara tak langsung membawa kedua pengantin honeymoon di sana.

3 jam diperlukan untuk tiba di Kundasang daripada Keningau. Kami bergerak menaiki 2 buah kenderaan dengan 6 orang dewasa dan 4 orang kanak-kanak. Perjalanan berjalan dengan lancar walaupon jalan raya di sini perlu melalui laluan bukit hampir sepanjang masa.

Kami tiba di Kundasang pada jam 5.30 petang. Hujan yang turun bagaikan menyambut ketibaan kami di sana. Tapi hujan seketika saja. Kami berhenti di gerai tepi jalan untuk membeli buah dan saya membeli propolis serta buah yang agak asing bagi saya, agak saya ini adalah buah nona.

Deretan kedai sayuran di tepi jalan mengingatkan saya seperti di Cameron Highlands Pahang. Suasana sejuk dan berkabus. Mungkin disebabkan oleh hujan yang turun sebelumnya.

Selepas membeli, kami bergerak ke tempat penginapan, di Kinabalu Pines Resort. Suasananya memang cantik, dikelilingi pokok pine serta udara yang sejuk mengadap Gunung Kinabalu. Bilik yang kami tempah berharga RM171.00 satu malam beserta sarapan dan kami menempahnya dua malam.

Pada malamnya, saya bersama rombongan keluar makan malam di pekan Kundasang. Kami makan di sebuah kedai makan yang sudah biasa dikunjungi ipar saya semasa mereka pulang ke Keningau dari Sandakan. Makanan dan minuman yang panas amat menyegarkan dan menyelerakan.

Kami bergegas pulang selepas makan malam kerana ingin menonton perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 2011 antara Malaysia menentang Indonesia yang dimenangi oleh Malaysia. Yeahhhh… Walaupon saya menontonnya seorang diri kerana Ihtisham dan isteri telah tidur, saya terdengar jeritan GOLLL!!!  daripada bilik sekitar ketika Malaysia menjaringkan gol. Amat mendebarkan perlawanan tersebut terutama ketika perlawanan terpaksa diakhiri dengan sepakan penalti. Tahniah pasukan Harimau Malaya.

 

Trip Keningau 1

Saya sekarang berada di Keningau Sabah bersama keluarga. Pulang ke rumah mertua di sini. Sebenarnya, ini adalah trip yang kedua kami pulang ke Keningau dalam tahun ini kerana kami telah pulang meraikan perkahwinan adik ipar lelaki pada bulan Februari lepas. Kepulangan kali ini untuk meraikan perkahwinan adik ipar perempuan pula.

Trip kali ini berbeza dengan trip yang lepas kerana kami sekeluarga bergerak dari Perlis dengan keretapi dari Stesen Keretapi Arau menuju ke Kuala Lumpur Sentral. Kami sekeluarga memilih keretapi kerana Ihtisham sudah besar dan mudah untuk menjaganya.

Perjalanan dengan keretapi kali ini agak kurang terurus. Isteri saya pulang dari pejabatnya ke rumah dalam jam enam petang, saya pula siapkan urusan untuk meninggalkan syarikat hampir jam enam petang. Maklumlah, 2 minggu saya akan meninggalkan syarikat. Sepanjang ketiadaan saya di syarikat, syarikat sedang dan akan menguruskan projek landskap di Pejabat Imigresen Kuala Perlis dan pembinaan rumah lindungan hujan di nurseri pokok sayur dan buah-buahan sumbangan Jabatan Pertanian Negeri Perlis kepada seorang usahawan mereka.

Sudah 2 hari saya siapkan segala dokumen yang diperlukan untuk ditinggalkan kepada rakan kongsi saya (dalam skop kontraktor). Invois, gambar, plan serta barang-barang untuk kerja-kerja tersebut. Alhamdulillah berjaya siapkan sebelum berangkat ke Keningau.

Jadi, akibat  masa yang kurang mencukupi, kami tak sempat menyiapkan makanan untuk dibuat bekalan sepanjang berkeretapi. Nak beli makanan di kedai pon tak sempat sebab jam dah menunjukkan 6.40 petang semasa kami bertolak keluar dari rumah. Jadual keretapi pula jam 7.10 malam di Stesen Arau.

Setelah menaiki keretapi, saya, isteri dan anak sudah kelaparan. Perancangannya kami makan saja di kantin dalam keretapi walaupon….. psstt…. turunkan nada suara anda ” makanan dalam keretapi kurang enak serta mahal, jadi disarankan bawa bekalan anda sendiri” :-)

Agak ramai juga penumpang lain semasa kami tiba di kantin. Dan sesuatu yang tidak saya jangka berlaku, makanan yang tinggal hanyalah mee cawan segera dan keropok. Saya mengambil keputusan dan membeli 3 cawan mee segera dan sebungkus keropok untuk mengisi perut yang sedang kelaparan. Saya kasihankan Ihtisham kerana tiada makanan yang sihat dan mengenyangkan. Tapi apakan daya, tu saja makanan yang ada jika tidak, kami perlu menunggu hingga jam 10.30 malam barulah ada nasi, mee dan makanan berat yang lain tiba di kantin.

Selepas makan, Ihtisham masih lagi bermain di dalam keretapi. Bergerak ke katil saya dan kemudian ke katil ibunya.   Pada malam itu juga, terdapat perlawanan bola sepak Sukan Sea antara Malaysia menentang Indonesia. Sekali sekala saya membuka FB membaca ulasan tak rasmi rakan FB tentang perlawanan tersebut. Keputusan yang menggembirakan kerana Malaysia menang 1-0.

Dalam melayan Ihtisham, saya juga memikirkan tentang satu barang yang telah habis dalam simpanan saya untuk membina rumah lindungan hujan kelak. Ligat otak saya berfikir kerana projek pembinaan akan dilaksanakan dalam masa sehari dua lagi. Alhamdulillah, selepas menelefon beberapa rakan, saya telah menjumpainya dan barang tersebut akan tiba di pejabat saya keesokan hari.  Selesai sudah tugas saya menyiapkan segala alatan yang diperlukan untuk pembinaan rumah lindungan hujan dan pembinaan akan dapat dijalankan dengan lancar oleh rakan kongsi saya kelak, insyaAllah.

Mungkin agak letih, Ihtisham kemudianya tidur di katil ibu. Seperti kebiasaan jika saya ke mana-mana, saya akan membawa bekal sebuah buku.   Sebelum tidur, saya membaca  buku Rahsia Jutawan Ebay. Di dalamnya tidak hanya diceritakan secara teknikal tentang ebay, tetapi pengurusan perniagaan gaya ebay juga ada di dalamnya. Memang tiada kaitan dengan perniagaan yang sedang saya jalankan, tetapi tidak salah untuk kita menambah ilmu baru.

Menarik sepanjang pembacaan saya sehingga muka surat 86, ada diceritakan tentang kepentingan diari. Pentingnya diari juga ada ditulis di dalam buku Leaving Microsoft to Chang the World. Wow, rupanya terdapat impak yang besar bila kita menulis diari.   Di dalam diarilah tercatat apa saja pengalaman dan pembelajaran sepanjang penulisan.

Baru-baru ini, saya pernah membaca semula blog saya www.mohdashraf.com sedari awal. Rupanya banyak yang telah saya pelajari dan saya kecapi, tetapi memandangkan ianya ditulis di blog, maka saya tidak mencatat semuanya. Tapi dengan adanya diari, mungkin saya akan catatkan segala-galanya yang mungkin tidak sesuai untuk saya kongsikan dengan orang lain.   Memandangkan kepentingan diari telah dinyatakan oleh dua orang yang hebat, saya pasti akan mengikuti jejak langkah mereka.

Sukacita di maklumkan bahawa program NCIA-MTDC Symbiosis di perkenalkan untuk menggalakkan graduan universiti untuk menceburi bidang pengkomersilan teknologi daripada universiti-universiti dan institusi penyelidikan tempatan. Program ini bertujuan untuk membentuk golongan usahawan di kalangan siswazah yang berminat di dalam aktiviti pengkomersilan dan seterusnya memasarkan produk-produk ke pasaran.

 

Program NCIA-MTDC Symbiosis ini adalah khusus untuk graduan-graduan  yang bermastautin di dan/atau berasal daripada negeri-negeri sebelah utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) sahaja.

 

Peserta program akan menjalani dua peringkat latihan. Di peringkat pertama, peserta yang terpilih akan melalui 3 (tiga) fasa latihan dalam tempoh 1 bulan.

Fasa I : Kursus induksi – Pengenalan kepada teknologi yang terpilih

Fasa II : Kursus Usahawan

Fasa III : Bengkel Pengkomersilan – Pembentangan modul-modul tentang konsep dan amalan di dalam proses peng- komersilan.

 

Selepas tamat peringkat pertama peserta dikehendaki menyediakan pelan perniagaan di dalam mengkomersilkan teknologi yang dipilih berdasarkan kepada kursus yang dihadiri. Diperingkat kedua, kesemua peserta akan dinilai dan hanya 20 peserta terbaik yang memenuhi kriteria yang ditetapkan akan terpilih dan berpeluang memulakan syarikatdan perniagaan mereka. Syarikat-syarikat ini juga akan mendapat pembiayaan dari MTDC dan akan melalui proses inkubasi selama 24 bulan di salah satu pusat teknologi di bawah pengurusan MTDC. Di sini mereka akan terus menerima bantuan dan bimbingan untuk memastikan proses pengkomersilan berjalan dengan jayanya.

 

Sekiranya saudara/i bekerja ketika ini tetapi berminat untuk menyertai kursus, saudara/i dinasihatkan untuk mengambil cuti panjang. Kursus akan bermula pada 3 – 25 Disember 2011 di Pulau Pinang. Kemudahan tempat tinggal termasuk makan/minum serta elaun akan diberikan kepada peserta.

 

Saudara/i boleh membuat permohonan secara online melalui http://210.19.31.148/ncia/appform.php. Butiran resume boleh dikemukakan semasa sesi interbiu nanti.

 

 

Sekian, harap maklum dan wassalam.

 

 

WAN RODZIANA WAN HASSAN

Senior Executive

Manufacturing Division,

Northern Corridor Implementation Authority (“NCIA”)

(NCIA Technology Development Centre)

Plot No. 36, Bayan Lepas Industrial Estate, Phase 4,

11900 Bayan Lepas,

Pulau Pinang,

Malaysia.

 

General Line  :  +604 – 616 9600
Direct Line     :  +604 – 616 9601
Fax                 :  +604 – 616 9700
Email             :  rodziana@ncer.com.my
Website         :  www.ncer.com.my

Related Posts with Thumbnails