23 November 2011, keluarga saya dan keluarga ipar saya bercuti di Kundasang Sabah. Secara tak langsung membawa kedua pengantin honeymoon di sana.
3 jam diperlukan untuk tiba di Kundasang daripada Keningau. Kami bergerak menaiki 2 buah kenderaan dengan 6 orang dewasa dan 4 orang kanak-kanak. Perjalanan berjalan dengan lancar walaupon jalan raya di sini perlu melalui laluan bukit hampir sepanjang masa.
Kami tiba di Kundasang pada jam 5.30 petang. Hujan yang turun bagaikan menyambut ketibaan kami di sana. Tapi hujan seketika saja. Kami berhenti di gerai tepi jalan untuk membeli buah dan saya membeli propolis serta buah yang agak asing bagi saya, agak saya ini adalah buah nona.

Deretan kedai sayuran di tepi jalan mengingatkan saya seperti di Cameron Highlands Pahang. Suasana sejuk dan berkabus. Mungkin disebabkan oleh hujan yang turun sebelumnya.
Selepas membeli, kami bergerak ke tempat penginapan, di Kinabalu Pines Resort. Suasananya memang cantik, dikelilingi pokok pine serta udara yang sejuk mengadap Gunung Kinabalu. Bilik yang kami tempah berharga RM171.00 satu malam beserta sarapan dan kami menempahnya dua malam.


Pada malamnya, saya bersama rombongan keluar makan malam di pekan Kundasang. Kami makan di sebuah kedai makan yang sudah biasa dikunjungi ipar saya semasa mereka pulang ke Keningau dari Sandakan. Makanan dan minuman yang panas amat menyegarkan dan menyelerakan.
Kami bergegas pulang selepas makan malam kerana ingin menonton perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 2011 antara Malaysia menentang Indonesia yang dimenangi oleh Malaysia. Yeahhhh… Walaupon saya menontonnya seorang diri kerana Ihtisham dan isteri telah tidur, saya terdengar jeritan GOLLL!!! daripada bilik sekitar ketika Malaysia menjaringkan gol. Amat mendebarkan perlawanan tersebut terutama ketika perlawanan terpaksa diakhiri dengan sepakan penalti. Tahniah pasukan Harimau Malaya.











