
Petang Ahad kelmarin, saya telah ke kebun JV.
Lama tak ke sana sebab kena siapkan kerja luar.
Rupanya, banyak lagi yang kena bersihkan.
Harap-harap minggu depan dah boleh mula masuk media dalam polibeg.
Tanaman yang diusahakan kat kebun JV ni adalah cili. Kalau tak salah saya, dah 3 musim. Maknanya hampir 3 tahun kebun tu dipenuhi cili ja.
Di kebun tu, ada plot depan. Plot depan ni dah ditanam pokok cili sebelum saya JV. Umur pokok tu hampir sebulan dalam polibeg. Tapi saya tengok, banyak yang kena serang. Rasanya hampir 50% atau lebih pokok dah kena serangan afid, thip… dengan lalat putih dah mula datang.
Saya berpendapat, plot depan tu kena serang sebab bila pokok lama dibuang, serangga pokok lama datang ke pokok baru. Iye la… Dah sumber makanan dengan tempat tinggal dibuang, ada pulak daun muda, terus serangga serang pokok baru. 50% tu… Adeh! Risau tul saya sebab duit saya pon ada dalam tu jugak.
Saya telah bagi cadangan pada partner saya, buat penggiliran tanaman. Dengan cara ni, hasil akan diperolehi walaupon sedikit daripada buat tanaman cili yang dah nampak akan membuatkan kami keluarkan tenaga kerja dan modal yang lebih.
Sebenarnya, memang penggiliran tanaman perlu dibuat. Dalam sistem tanaman atas tanah, penggiliran tanaman dibuat untuk pulihkan tanah, kembalikan unsur-unsur dalam tanah dan kurangkan serangga perosak sesuatu tanaman. Selain tu, penggiliran tanaman dibuat berdasarkan cuaca, kerana ada tanaman yang tak tahan dengan hujan atau panas. Tapi, dalam sistem fertigasi yang tak guna tanah, tujuan buat penggiliran tanaman adalah untuk kurangkan serangga perosak sesuatu jenis tanaman. Dalam kes saya, untuk kurangkan perosak tanaman cili, sebab sumber makanan serangga tu dah tiada.
Untuk buat penggiliran tanaman, jangan gunakan keluarga tanaman yang sama. Sebab dalam keluarga yang sama, pengambilan unsur-unsur dalam tanah adalah sama, serta serangga perosak pon lebih kurang sama.
Cili adalah tergolong dalam keluarga “solanaceae”. Dalam keluarga “solanaceae”, antaranya terdapat cili, tomato dan terung. Jadi untuk buat penggiliran tanaman, saya tak akan tanam terung atau tomato. Saya akan tanam tanaman daripada keluarga lain contohnya timun, bendi dan kacang panjang.
Selepas buat sedikit chat pendek di FB dengan partner kebun JV, mungkin kami akan usahakan tanaman timun. Hasil perbincangan akan disambung esok di kebun.











