Trip Keningau 1
Posted by Mohd AshrafNov 20
Saya sekarang berada di Keningau Sabah bersama keluarga. Pulang ke rumah mertua di sini. Sebenarnya, ini adalah trip yang kedua kami pulang ke Keningau dalam tahun ini kerana kami telah pulang meraikan perkahwinan adik ipar lelaki pada bulan Februari lepas. Kepulangan kali ini untuk meraikan perkahwinan adik ipar perempuan pula.
Trip kali ini berbeza dengan trip yang lepas kerana kami sekeluarga bergerak dari Perlis dengan keretapi dari Stesen Keretapi Arau menuju ke Kuala Lumpur Sentral. Kami sekeluarga memilih keretapi kerana Ihtisham sudah besar dan mudah untuk menjaganya.

Perjalanan dengan keretapi kali ini agak kurang terurus. Isteri saya pulang dari pejabatnya ke rumah dalam jam enam petang, saya pula siapkan urusan untuk meninggalkan syarikat hampir jam enam petang. Maklumlah, 2 minggu saya akan meninggalkan syarikat. Sepanjang ketiadaan saya di syarikat, syarikat sedang dan akan menguruskan projek landskap di Pejabat Imigresen Kuala Perlis dan pembinaan rumah lindungan hujan di nurseri pokok sayur dan buah-buahan sumbangan Jabatan Pertanian Negeri Perlis kepada seorang usahawan mereka.
Sudah 2 hari saya siapkan segala dokumen yang diperlukan untuk ditinggalkan kepada rakan kongsi saya (dalam skop kontraktor). Invois, gambar, plan serta barang-barang untuk kerja-kerja tersebut. Alhamdulillah berjaya siapkan sebelum berangkat ke Keningau.
Jadi, akibat masa yang kurang mencukupi, kami tak sempat menyiapkan makanan untuk dibuat bekalan sepanjang berkeretapi. Nak beli makanan di kedai pon tak sempat sebab jam dah menunjukkan 6.40 petang semasa kami bertolak keluar dari rumah. Jadual keretapi pula jam 7.10 malam di Stesen Arau.
Setelah menaiki keretapi, saya, isteri dan anak sudah kelaparan. Perancangannya kami makan saja di kantin dalam keretapi walaupon….. psstt…. turunkan nada suara anda ” makanan dalam keretapi kurang enak serta mahal, jadi disarankan bawa bekalan anda sendiri”
Agak ramai juga penumpang lain semasa kami tiba di kantin. Dan sesuatu yang tidak saya jangka berlaku, makanan yang tinggal hanyalah mee cawan segera dan keropok. Saya mengambil keputusan dan membeli 3 cawan mee segera dan sebungkus keropok untuk mengisi perut yang sedang kelaparan. Saya kasihankan Ihtisham kerana tiada makanan yang sihat dan mengenyangkan. Tapi apakan daya, tu saja makanan yang ada jika tidak, kami perlu menunggu hingga jam 10.30 malam barulah ada nasi, mee dan makanan berat yang lain tiba di kantin.
Selepas makan, Ihtisham masih lagi bermain di dalam keretapi. Bergerak ke katil saya dan kemudian ke katil ibunya. Pada malam itu juga, terdapat perlawanan bola sepak Sukan Sea antara Malaysia menentang Indonesia. Sekali sekala saya membuka FB membaca ulasan tak rasmi rakan FB tentang perlawanan tersebut. Keputusan yang menggembirakan kerana Malaysia menang 1-0.
Dalam melayan Ihtisham, saya juga memikirkan tentang satu barang yang telah habis dalam simpanan saya untuk membina rumah lindungan hujan kelak. Ligat otak saya berfikir kerana projek pembinaan akan dilaksanakan dalam masa sehari dua lagi. Alhamdulillah, selepas menelefon beberapa rakan, saya telah menjumpainya dan barang tersebut akan tiba di pejabat saya keesokan hari. Selesai sudah tugas saya menyiapkan segala alatan yang diperlukan untuk pembinaan rumah lindungan hujan dan pembinaan akan dapat dijalankan dengan lancar oleh rakan kongsi saya kelak, insyaAllah.
Mungkin agak letih, Ihtisham kemudianya tidur di katil ibu. Seperti kebiasaan jika saya ke mana-mana, saya akan membawa bekal sebuah buku. Sebelum tidur, saya membaca buku Rahsia Jutawan Ebay. Di dalamnya tidak hanya diceritakan secara teknikal tentang ebay, tetapi pengurusan perniagaan gaya ebay juga ada di dalamnya. Memang tiada kaitan dengan perniagaan yang sedang saya jalankan, tetapi tidak salah untuk kita menambah ilmu baru.

Menarik sepanjang pembacaan saya sehingga muka surat 86, ada diceritakan tentang kepentingan diari. Pentingnya diari juga ada ditulis di dalam buku Leaving Microsoft to Chang the World. Wow, rupanya terdapat impak yang besar bila kita menulis diari. Di dalam diarilah tercatat apa saja pengalaman dan pembelajaran sepanjang penulisan.
Baru-baru ini, saya pernah membaca semula blog saya www.mohdashraf.com sedari awal. Rupanya banyak yang telah saya pelajari dan saya kecapi, tetapi memandangkan ianya ditulis di blog, maka saya tidak mencatat semuanya. Tapi dengan adanya diari, mungkin saya akan catatkan segala-galanya yang mungkin tidak sesuai untuk saya kongsikan dengan orang lain. Memandangkan kepentingan diari telah dinyatakan oleh dua orang yang hebat, saya pasti akan mengikuti jejak langkah mereka.











Leave a Reply